suria

Program 6P Berjaya - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menyifatkan pelaksanaan sistem biometrik dan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Program 6P sebagai berjaya apabila hampir dua juta PATI dan pekerja asing sah didaftarkan sehingga pagi Isnin.

Menurut beliau, angka besar yang direkodkan itu sekaligus menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengkritik perlaksanaan sistem biometrik dan program 6P serta keupayaan kakitangan Jabatan Imigresen dalam mengendalikannya.

"Mereka yang menunding jari dan menyalahkan sistem memang mudah tapi jika jumlah sebenar PATI dan pekerja asing sah tidak diketahui, ia akan memberi ancaman kepada keselamatan negara dan rakyat.

"Jadi saya berterima kasih kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen yang bertungkus lumus untuk menjayakan sebahagian daripada program transformasi Kementerian Dalam Negeri ini," katanya pada sidang media selepas perjumpaan Bersama Pengarah-Pengarah Imigresen Negeri-Negeri di sini, Isnin.

Hishamuddin berkata, bilangan besar yang direkodkan sehingga hari ini menunjukkan perlaksanaan itu bukan omongan kosong tetapi suatu tindakan berani yang dilakukan demi memenuhi tuntutan rakyat di negara ini.

"Sistem biometrik dan Program 6P hanya sebahagian daripada pelan besar-besaran KDN. Perkara berkaitan PATI dan pekerja asing merupakan tanggungjawab yang perlu kami ditunaikan," katanya.

Jelas beliau, pelaksanaan sedemikian bukan saja melibatkan penambahbaikan Jabatan Imigresen tetapi turut memastikan sistem pengurusan yang mantap dalam merealisasikan transformasi kementerian itu.

Ketika ditanya sama ada tempoh pendaftaran akan dilanjutkan selepas ini, Hishamuddin berkata, pihaknya menetapkan 22 0gos ini sebagai tarikh akhir bagi majikan untuk mendaftarkan pekerja asing sah dan PATI berbuat demikian.

"Selepas ini tiada alasan untuk kita lanjutkan tarikh pendaftaran. Oleh itu, saya nasihatkan majikan supaya berbuat demikian dengan kadar segera, bukannya pada saat akhir," ujarnya.

Beliau turut memberitahu keutamaan akan diberikan kepada majikan dan pekerja asing yang mendaftar awal dalam program berkenaan.

“Apabila tiba program pemutihan nanti, kita beri keutamaan kepada majikan yang memerlukan pekerja asing kepada majikan yang mendaftar awal," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Hishamuddin berjanji untuk memerangi sindiket pemerdagangan manusia yang dianggap sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan.

"Layanan mereka kepada golongan yang tidak berdosa cukup menyayat hati. Kita tidak akan berkompromosi terhadap mereka yang terlibat dengan jenayah seperti ini.

"Kita menjalin kerjasama rapat dengan Bangladesh dan agensi risikan. Saya mahu buru sindiket ini habis-habisan malah pegawai kita yang terlibat turut ditahan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain