suria

Pemandu Teksi, Jururawat Maut Dalam Kemalangan Di Lebuh AMJ

MELAKA: Seorang jururawat dan seorang lelaki maut apabila kereta yang mereka pandu bertembung di persimpangan lampu isyarat, Jalan Datuk Md Zin, Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), Cheng di sini, awal Ahad.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Melaka Tengah ASP V.Gunasegaran berkata kemalangan kira-kira 4 pagi itu menyebabkan Cynthia Lim Ching Gek, 24, yang bertugas di Pusat Perubatan Mahkota dan pemandu teksi Ismail Zainol Abidin, 45, mati di tempat kejadian.

"Ismail yang datang dari arah Alor Gajah menghala ke Bandar Melaka berlanggar dengan kereta yang dipandu Cynthia dari arah bertentangan," katanya yang menambah kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

Sementara itu, isteri Ismail, Shuraini Md Derani, 40, berkata Allahyarham sempat memberikan wang sebagai tambang bas anak sulung mereka yang akan pulang ke asrama di Batu Berendam petang ini.

"Allahyarham sempat bersahur hidangan nasi ayam bersama saya dan empat orang anak sebelum keluar dari rumah di Taman Sri Kelemak, Alor Gajah untuk bekerja di Melaka Sentral, kira-kira jam 3.30 pagi," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka.

Shuraini yang sedang mengandung enam bulan berkata dia perlu bekerja untuk menyara kehidupan mereka anak-beranak.

"Saya dan Arwah sebenarnya ada merancang membuat imbasan untuk mengetahui jantina anak kelima kami dalam masa dua ke tiga hari lagi, tetapi nampaknya arwah tidak sempat mengetahui sama ada lelaki atau perempuan anak yang bakal lahir ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain