suria

Kes Mayat Dikerat: Tahanan Reman Lapan Suspek Dilanjutkan Sehingga Sabtu

KUALA LUMPUR: Tahanan reman lapan lelaki warga asing berhubung kes penemuan mayat wanita yang dikerat di sebuah apartmen di Ampang 3 Ogos lepas, dilanjutkan sehingga Sabtu ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata tempoh reman suspek yang berusia lingkungan 26 hingga 38 tahun itu dilanjutkan selama tujuh hari bermula Ahad.

"Mereka disambung reman bagi membantu siasatan setelah tempoh reman pertama berakhir semalam," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Ahad.

Dalam kejadian itu, polis menemui keratan tubuh dan organ manusia, termasuk usus, dalam beberapa beg plastik serta dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang.

Selepas siasatan awal, polis mengesahkan semua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita warga asing dalam lingkungan 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 20 bulan.

Semua suspek ditahan di Ampang pada 6 Ogos lepas, dan polis menemui beberapa alat termasuk tukul besi yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain