suria

Tiga Maut Dalam Kemalangan Membabitkan Tiga Buah Lori

KUALA KRAI: Tiga maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah lori di Kilometer 106, Jalan Kota Baharu-Gua Musang, dekat sini, pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supritendan Abdul Rahman Ja'apar berkata mangsa yang maut ialah pemandu treler, Mohammad Zu Yusoff, 47, dan isterinya, Kamariah Ibrahim, 43, serta kelindan treler terbabit, Nik Mohd Shahrizan Yaacob, 32.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.20 pagi apabila sebuah lori yang masih belum dikenal pasti nombor pendaftaran cuba memotong treler dipandu Mohammad Zu yang membawa muatan dedak sebelum kedua-dua kenderaan terbabit bergesel sesama sendiri.

"Pergeseran menyebabkan Mohammad Zu terjatuh ke atas jalan raya sebelum digilis tayar belakang trelernya manakala treler yang tiada pemandu itu hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lagi treler yang berhenti di bahu jalan berhampiran lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Katanya ketiga-tiga mangsa yang beralamat di Kampung Tanjong, Jalan Tawang, Bachok maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah terutama mayat Mohd Zu yang berkecai digilis tayar trelernya.

Bagaimanapun, katanya ketika kejadian itu tiada individu di dalam treler yang diparkir di bahu jalan berkenaan manakala pemandu lori yang cuba memotong treler mangsa melarikan diri.

Abdul Rahman berkata mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk bedah siasat.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain