suria

Peluang Puasa, Sambut Raya Untuk 50 Kanak-Kanak Bukan Islam

SHAH ALAM: Seramai 50 kanak-kanak bukan Islam akan diberi peluang merasai pengalaman berpuasa dan berhari raya bagi mewujudkan kefahaman tentang budaya dan sambutan perayaan itu di kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata 'Ramadan dan Raya 1Malaysia' itu merupakan program perintis anjuran Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia (YHKM) yang mana beliau adalah penaung kehormatnya.

Beliau berkata kanak-kanak yang terpilih akan diserahkan kepada keluarga angkat pada hari terakhir bulan Ramadan dan mereka akan tinggal bersama selama dua hari untuk menikmati Aidil Fitri.

"Saya berharap melalui program seperti ini, kita akan berjaya melahirkan golongan muda Malaysia yang bertoleransi dan menghormati satu sama lain," katanya pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim YHKM, yang turut dihadiri Pengerusi rangkaian Hotel Concorde Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir di sini malam Ahad.

Teks ucapan Rosmah dibacakan Anggota Lembaga Penasihat YHKM Datuk Atikah Adom.

Seramai 200 anak yatim diraikan pada majlis anjuran Pertubuhan Sukarelawan Amal Bakti Ramadan Malaysia (Persabar) dengan sokongan 10 persatuan kebajikan lain.

Rosmah turut berpesan kepada golongan anak yatim agar tenang dan sabar ketika berdepan cabaran hidup.

"Ambillah contoh dan iktibar daripada sejarah tokoh yang menjadi junjungan kita iaitu Rasulullah SAW kerana baginda juga adalah seorang anak yatim.

"Pelajarilah tentang keperibadian serta perjalanan hidup Baginda, dan jadikanlah ia sebagai sumber inspirasi terbaik kepada anak-anak sekalian dalam menempuh kehidupan," katanya.

Beliau berharap syarikat korporat dan orang perseorangan mengambil peluang untuk memberi sumbangan, bukan sahaja kepada pembangunan negara, malah kepada perkembangan kebajikan anak-anak yatim yang memerlukan. - BERNAMA

Artikel Lain