suria

Kerjasama MAS, AirAsia Diharap Mantapkan Industri Pengangkutan Udara Negara

KOTA KINABALU: Kerjasama yang terjalin antara MAS dan AirAsia akan mencapai matlamat asas iaitu mengeksploitasi kekuatan masing-masing bagi industri dan sistem pengangkutan udara negara secara menyeluruh, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata ia merupakan kerjasama strategik yang biasa diguna pakai oleh kebanyakan syarikat bagi menggembleng pelbagai sumber bagi menghadapi persaingan antarabangsa terutama syarikat pengangkutan udara global lain yang semakin agresif khususnya syarikat penerbangan Timur Tengah.

Ini berikutan fenomena liberalisasi semasa yang menuntut setiap syarikat memiliki daya saing yang tinggi, katanya.

"Kerjasama ini menyerupai penggabungan yang berlaku dalam sektor perbankan dan kewangan bagi mendepani gelombang globalisasi dan liberalisasi perdagangan dunia yang sudah terlalu sukar untuk dibendung.

"Apa yang penting kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia terutama yang menggunakan perkhidmatan tempatan dan domestik tidak terjejas sehingga menjejaskan integrasi nasional," katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Abdul Rahim berkata suasana persaingan yang sihat, tawaran harga berpatutan dan kualiti perkhidmatan sewajarnya tidak dikompromi.

Beliau percaya agensi Khazanah Nasional telah memperincikan isu-isu tersebut sebelum membuat keputusan itu.

Abdul Rahim menyifatkan perkara itu sebagai keputusan perniagaan semata-mata dan tidak perlu dilihat dari sudut yang lain. - BERNAMA

Artikel Lain