suria

Tim.Menteri Belia & Sukan Terpegun Dengan Semangat Asyraf

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu, yang melawat Mohamed Asyraf Haziq Rossli, 20, pelajar Malaysia yang diserang dan dirompak dalam kekacauan di London baru-baru ini, menyifatkan pemuda itu sebagai model peranan yang baik bagi golongan belia.

Katanya, Asyraf tidak hilang semangat ketika berdepan dengan bahaya dan walaupun menjadi mangsa keganasan, pemuda itu tidak menyimpan perasaan dendam terhadap penyerangnya serta mereka yang menyamun barangan miliknya.

"Dia tetap bersemangat tinggi selepas menjalani pembedahan dan mempamerkan sikap positif mengenai peristiwa yang menimpanya. Ini patut dijadikan teladan dan sesuatu yang patut membanggakan kita.

"Asyraf berazam untuk meneruskan pengajiannya dan menjadi teladan bagi golongan belia," kata Gan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Gan, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke United Kingdom, meluangkan kira-kira 30 minit bersama Asyraf di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square hari ini.

Sebaik saja dimaklumkan tentang nasib malang yang menimpa Asyraf, Gan yang tiba di London pada Rabu, terus ke Royal London Hospital, untuk melawat pemuda itu yang dirawat di sana, tetapi tidak berkesempatan bertemu dengan pelajar jurusan perakaunan yang sedang menjalani pembedahan ketika itu.

"Saya rasa saya patut berjumpa Asyraf untuk melihat apa yang boleh saya bantu," katanya.

Gan juga memuji Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London kerana mengambil tindakan segera untuk membantu Asyraf, termasuk menghubungi polis, mengatur makanan dan tempat penginapan untuk pemuda itu ketika dia menghadapi saat-saat yang tidak menentu.

Timbalan Menteri itu dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke United Kingdom, termasuk memberi sokongan moral kepada pasukan badminton Malaysia yang menyertai Kejohanan Badminton Dunia di London, mengadakan perbincangan tentang program pembangunan belia dengan Sekretariat Komanwel dan mengadakan dialog dengan para pemimpin pelajar. - BERNAMA

Artikel Lain