suria

Raja Muda Perlis Lancar Jurnal Ops Pasir Sabah

KOTA KINABALU: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melancarkan jurnal "Ops Pasir Sabah" di sini hari ini dengan keyakinan gandingan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat melonjakkan pencapaian Program Transformasi Negara.

Titah baginda, program kerjasama itu menjadi asas kepada pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan kadar jenayah di samping menjadi nadi penggerak serta agen perubahan dalam menjana pembangunan negara.

Antara gandingan kerjasama itu termasuklah latihan rekrut konstabel polis di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Puspada) dan pengambilan bekas anggota tentera dalam pasukan polis selain program rondaan bersama.

Baginda, yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah, bertitah Ops Pasir Sabah yang dilaksanakan di perairan Sabah turut membabitkan pasukan polis dan tentera dengan masing-masing mempunyai peranan mempertahankan kedaulatan negara.

Mengenai jurnal itu, Tuanku Syed Faizuddin menjelaskan bahawa ia adalah sebuah dokumentasi lawatan delegasi Perlis ke kawasan Ops Pasir pada 2004 sehingga 2010 yang diketuai baginda sendiri.

Jurnal yang diusahakan oleh Setiausaha PDRM, Datuk Ghazali Md Amin, yang juga bekas Ketua Polis Perlis itu, merakamkan pelbagai kegiatan sepanjang lawatan ke Ops Pasir Sabah.

Baginda berharap jurnal itu akan menjadi asas dan panduan bagi merancang penambahbaikan dalam program ke kawasan Ops Pasir Sabah.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pemilihan anggota delegasi yang terdiri daripada para pemimpin utama negeri dan ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri saban tahun, akan mendedahkan mereka tentang cabaran sebenar anggota-anggota pasukan keselamatan yang bertugas menjaga kedaulatan negara. -BERNAMA

Artikel Lain