suria

Tiada Laporan Baru Mengenai Rakyat Malaysia Terjejas Di London

KUALA LUMPUR: Tiada laporan baru mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat kekacauan di London setakat semalam, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada Khamis.

Beliau berkata kementeriannya memantau keadaan di London dan bandar raya lain di United Kingdom sejak tercetusnya rusuhan di Tottenham pada Sabtu.

"Keadaan semasa di seluruh United Kingdom secara keseluruhannya boleh dikatakan tenang sungguhpun kebimbangan berhubung keganasan itu belum reda sepenuhnya," kata beliau menerusi satu kenyataan.

Anifah menasihati rakyat dan pelajar Malaysia supaya sentiasa mengambil sikap berhati-hati dan mengelak kawasan yang terjejas sehingga keadaan kembali pulih di samping mematuhi apa jua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa setempat.

Isnin lepas, Muhammad Ashraf Haziq Rosli, 20, pelajar tahun pertama tajaan Mara dalam jurusan perakaunan di Kaplan College, hilang beberapa batang gigi dan patah rahang setelah beliau diserang dan dirompak dalam satu rusuhan ketika beliau serta rakan-rakannya berbasikal pulang ke rumah untuk berbuka puasa. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain