SHAH ALAM: Dua pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas tuduhan menetak pergelangan tangan kiri seorang pelajar tingkatan empat sehingga putus, bulan lalu.P. Krishnan, 28, dan S. Pergas, 29, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Moktar. Mereka didakwa menetak tangan N. R Yosaraj, 16, pada pukul 9.30 malam, 22 Julai lalu di gelanggang badminton, Jalan 15E, Taman Bukit Teratai, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, dekat sini.Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya, Che Rohan Ismail memohon mahkamah menetapkan jaminan yang tidak kurang daripada RM20,000 kepada tertuduh memandangkan kesalahan tersebut telah menyebabkan mangsa mengalami kecatatan kekal.Bagaimanapun, peguam Rejinder Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar jumlah tersebut kepada RM7,000 atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan untuk menyediakan jaminan yang tinggi."Jika jaminan diberikan tinggi, anak guam saya akan ditahan di Penjara Sungai Buloh (dekat sini) kerana tidak mampu untuk membayarnya.Jaminan juga hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh pada perbicaraan akan datang," katanya.Rejinder juga memberitahu, ahli keluarga tertuduh bersedia untuk menjadi penjamin dan mahkamah boleh mengenakan syarat-syarat tambahan sekiranya perlu.Hakim Mohammed Mokhzani membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 September ini.