suria

SPR Lantik Pegawai Kementerian Luar Sebagai Penolong Pendaftar Pemilih

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak 29 April lepas telah melantik semua pegawai Kementerian Luar yang bertugas di pejabat perwakilan Malaysia di luar negara sebagai Penolong Pendaftar Pemilih.

Pelantikan semua pegawai itu adalah untuk mendaftarkan warganegara Malaysia di luar negara yang memenuhi syarat sebagai pengundi tidak hadir (PTH) mendaftar, menurut laporan "Maklumbalas Kerajaan terhadap Laporan Tahunan Suhakam 2010" yang dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di sini, Jumaat.

Menurut laporan itu, warganegara Malaysia yang layak sebagai PTH boleh mendaftar dengan pegawai Kementerian Luar di semua pejabat perwakilan Malaysia di luar negara.

Menyentuh mengenai isu daftar pemilih Anggota Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menurut laporan itu ATM dan PDRM dari semasa ke semasa membekalkan SPR maklumat anggotanya yang telah bersara atau menamatkan perkhidmatan atau meninggal dunia bagi membolehkan SPR mengemas kini pangkalan data sedia ada.

"Bagi mengelakkan masalah nama pemilih berganda antara pemilih awam atau pun PTH, Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) telah memaklumkan kepada SPR maklumat semua anggota ATM dan PDRM yang memiliki nombor kad pengenalan awam," menurut laporan itu.

"Penyaluran maklumat ini akan dilakukan secara berterusan bagi membolehkan pengemaskinian daftar pemilih dilakukan oleh SPR," menurut laporan itu.

Selain itu, SPR juga melaksanakan pembersihan dan pengemaskinian daftar pemilih sepanjang tahun, terutama melalui maklumat yang dibekalkan oleh agensi-agensi kerajaan termasuk JPN, ATM dan PDRM secara jalinan 'smart partnership'.

"Bagi tujuan pembersihan daftar pemilih SPR hanya akan memotong nama-nama pemilih yang disahkan sebagai meninggal dunia atau hilang layak sebagi pemilih atas sebab lucut warganegara berdasarkan maklumat sahih yang dibekalkan oleh JPN," menurut laporan itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain