suria

Rakyat Malaysia Di Britain Diingatkan Agar Berwaspada

KOTA KINABALU: Rakyat Malaysia di Britain diminta agar sentiasa berwaspada sekiranya berlaku sebarang keganasan.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata walaupun tidak ada laporan rusuhan pada malam kelima sejak Sabtu, kehadiran polis, yang sekarang meningkat tiga kali ganda kepada 16,000 anggota mengawal jalan-jalan, ialah petunjuk keadaan masih belum pulih sepenuhnya.

"Apa yang penting ialah agar warga kita sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga demi kebaikan mereka. Adalah penting bagi mereka agar menghindari kawasan-kawasan (yang terjejas rusuhan)," katanya pada sidang media tentang situasi terkini di Britain.

Beliau juga berkata keadaan di seluruh Britain masih lagi tenang untuk pelancong Malaysia, tetapi mengingatkan mereka agar memaklumkan kepada Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London tentang lokasi mereka.

Anifah berkata insiden memecah masuk dan mencuri di London telah merebak ke 23 kawasan dan 14 kawasan di luar bandar raya itu.

Sementara itu, nasib malang yang menimpa penuntut Malaysia Mohd Asyraf Haziq Rosli, 20, terus mendapat simpati rakyat Britain sejak klip video beliau diserang disiarkan di media utama dan di internet.

"Menyebabkan Hospital Royal London di White Chapel di mana Mohd Asyraf Haziq dirawat, dibanjiri wartawan daripada saluran berita tempatan dan antarabangsa untuk melaporkan perkembangan terkini beliau," katanya.

Anifah juga berkata pelajar tahun pertama bidang perakaunan yang menuntut di di Kaplan Financial College, selamat menjalani pembedahan lebih tiga jam pada 1 petang (9 malam waktu Malaysia) Rabu untuk memasukkan plat logam di dalam rahangnya.

Pada Isnin, Mohd Asyraf Haziq diserang dan dirompak oleh sekumpulan remaja dan mengalami kecederaan patah tulang rahang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain