suria

Pesuruhjaya Tinggi Britain Lawat Asyraf Di London

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone pada Khamis melawat Mohamed Asyraf Haziq Rossli, pelajar Malaysia yang diserang dan dirompak semasa berlaku rusuhan di London baru-baru ini.

Featherstone, yang ketika ini sedang bercuti di United Kingdom (UK), melawat Asyraf selepas pelajar berusia 20 tahun itu dibenarkan keluar dari Royal London Hospital.

Selepas kunjungan itu, beliau menyifatkan Asyraf sebagai 'seorang anak muda yang mengagumkan dan duta yang baik bagi Malaysia'.

"Keazaman beliau untuk meneruskan pengajian meskipun dilanda insiden ini harus dipuji. Saya mendoakan beliau cepat sembuh agar beliau dapat menyambung semula pengajiannya di UK," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Britain di sini.

Kenyataan itu turut menyebut pegawai kanan di Pejabat Hal Ehwal Luar dan Komanwel turut mengadakan hubungan yang kerap dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Isnin lepas, Asyraf, pelajar tahun pertama jurusan perakaunan tajaan Mara di Kaplan College, patah gigi serta cedera di rahang setelah beliau diserang dan disamun oleh perusuh.

Video memaparkan Asyraf yang terduduk dengan mulutnya berdarah, dibantu oleh seorang lelaki untuk bangun manakala beberapa lagi lelaki mengambil kesempatan menyelongkar begnya, telah mencetuskan ledakan kemarahan.

Sementara itu, pemangku Pesuruhjaya Tinggi Ray Kyles, bertemu ibu bapa Asyraf, Rossli Harun dan Maznah Abu Mansoor, di Kuala Lumpur pada Khamis.

Kenyataan itu menyebut Kyles merakamkan simpati beliau kepada mereka dan memberi jaminan kepada pasangan itu bahawa anak lelaki mereka akan mendapat 'rawatan perubatan yang sangat baik di UK'.

"Saya menyambut baik berita penahanan seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan insiden ini. Saya yakin polis UK akan bekerja keras untuk membawa pelaku jenayah ini ke muka pengadilan," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain