suria

Perkasa Serah Memo Bantahan Kepada The Star

PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada lewat pagi Jumaat menyerahkan memorandum bantahan kepada akhbar The Star kerana menyiarkan satu keluaran khas Ramadan Rabu lalu yang turut mempromosikan restoran tidak halal.

Sisipan tersebut bertajuk Ramadan Delights, memaparkan restoran dan makanan pilihan untuk berbuka puasa.

Ketua Wira (Pemuda) Perkasa, Irwan Fahmi Ideris yang mewakili badan itu berkata, mereka berasa kesal dengan penyiaran sisipan tersebut kerana ia seolah-olah tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Walaupun The Star telah memohon maaf pada hari ini (Jumaat), kita tetap menyerahkan memo bantahan untuk memberi peringatan supaya perkara seperti itu tidak berulang kembali pada masa akan datang.

"Dan memandangkan majoriti penduduk di negara ini beragama Islam, siaran seperti itu tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia ini," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Menara Star di sini.

Beliau hadir bersama lima orang lagi wakil badan NGO itu.

Memorandum tersebut diserahkan kepada kepada Pengurus Kanan Sumber Manusia Kumpulan The Star, Henry Asokan.

Akhbar The Star dalam keluaran Jumaat telah menyatakan permohonan maaf kepada seluruh umat Islam di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Sementara itu, Henry berkata, The Star tidak akan mengulangi insiden yang tidak disengajakan itu.

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Kami amat kesal dan akan memastikan ia tidak berlaku lagi. Kita telah pun menyiarkan pernyataan memohon maaf kepada seluruh umat Islam hari ini (Jumaat) dan tindakan susulan akan diambil selepas ini," katanya kepada para pemberita.

Artikel Berikut

Artikel Lain