suria

Tiga Sahabat Dijatuhi Hukuman Mati Kerana Membunuh

GEORGE TOWN: Tiga sahabat pada Khamis dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang setelah didapati bersalah membunuh seorang lelaki tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zamani Abdul Rahim membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan ke atas Visva Nathan Vadeveloo, 27, Shivasunderam Rajan, 24, kedua-dua kontrak, dan Thangaraj Manirajee,23, pekerja kilang.

Mereka dituduh membunuh Faiel Mat, 38, dengan menggunakan topi keledar di sebelah Pusat Komputer HCK Dot Com, Jalan Kenari, Sungai Ara, Bayan Lepas, antara 3.50 pagi dan 5.40 pagi 3 Oktober 2008.

Dalam penghakimannya, Zamani berkata beliau berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Katanya walaupun ketiga-tiga tertuduh memberikan yang keterangan serupa secara bersumpah, mereka gagal memberi penjelasan munasabah yang boleh menimbulkan keraguan.

"Keterangan masing-masing hanya menyatakan 'saya tidak ada sebarang niat', 'saya tiada rancangan dengan kawan-kawan', 'semua berlaku tiba-tiba', 'saya tidak pukul kepala si mati', 'saya hanya pukul kaki dan tangan si mati', 'pada masa itu saya tidak waras dan tidak sedar kerana banyak meminum arak'.

"Mahkamah mendapati ini adalah pembelaan berbentuk rekaan dan penafian semata-mata untuk menyatakan mereka tidak ada pengetahuan bahawa si mati akan meninggal dunia daripada tindakan mereka," kata Zamani.

Beliau berkata mahkamah telah membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah menilai dan meneliti hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Guat Cheng manakala peguam R.S.N. Rayer mewakili Visva dan Shivasunderam manakala peguam Harpal Singh mewakili Thangaraj. - BERNAMA

Artikel Lain