suria

Rosmah Faham Ibu Bapa Bimbang Nasib Pelajar Di London

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau dapat memahami keresahan ibu bapa tentang keadaan serta keselamatan anak-anak mereka yang menuntut di London berikutan rusuhan yang berlaku di negara itu.

"Walaupun anak saya kini tidak lagi menuntut di sana tetapi saya dapat merasakan keresahan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa yang bimbangkan keselamatan anak mereka yang menuntut di sana berikutan keadaan huru-hara yang melanda kota London kini.

"Justeru saya nasihatkan ibu bapa dapat bersabar dan sentiasa berdoa agar keadaan tersebut (huru-hara) akan berakhir tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan Aidilfitri oleh Umno Bahagian Cheras kepada golongan kurang berkemampuan bagi kawasan Parlimen Cheras di sini, Khamis. Isnin lepas, Muhammad Asyraf Haziq Rosli, 20, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan Mara di Kolej Kaplan, London, patah gigi dan cedera di rahang apabila diserang dan disamun sekumpulan lelaki yang terbabit dalam rusuhan ketika beliau dan rakannya menunggang basikal untuk pulang berbuka puasa.

Rosmah berkata rakyat Malaysia juga perlu bersyukur dan bertuah kerana dapat menunaikan ibadah puasa dalam keadaan aman dan harmoni walaupun masyarakat negara ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama.

"Sesetengah umat Islam di Timur Tengah menyambut Ramadan kali ini dalam keadaan yang tidak menentu di mana negara mereka sedang bergolak," katanya.

Rosmah dalam ucapannya turut memuji usaha Umno Cheras memberikan sumbangan itu kepada 500 penerima daripada kalangan pelbagai bangsa dan agama.

"Usaha ini wajar dicontohi oleh badan-badan bukan kerajaan yang lain. Malah saya yakin acara ini mampu mewujudkan semangat muhibah di kalangan seluruh warga Malaysia yang selari dengan konsep dan aspirasi 1Malaysia," katanya.

Sumbangan yang disampaikan hari ini adalah dalam bentuk wang tunai RM100, baucar pasar raya Giant bernilai RM100, bahan makanan dan kain sarung batik. - BERNAMA

Artikel Lain