suria

Polis Tahan Reman Lelaki Dakwa Suami Wanita Dikerat

KUALA LUMPUR: Lelaki yang mendakwa suami kepada seorang wanita yang mayatnya dijumpai dalam keadaan dikerat di sebuah unit pangsapuri di Ampang pada 3 Ogos lepas, ditahan reman selama enam hari bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata lelaki berumur lingkungan 20-an itu ditahan di sekitar Ampang semalam kerana enggan mengemukakan dokumen perkahwinan dan dokumen pengenalan dirinya meragukan.

"Kita akan siasat sama ada lelaki itu suami kepada wanita itu atau pun tidak dan adakah dia ada kaitan dalam kejadian yang tidak berperikemanusiaan itu," katanya ketika dihubungi Bernama, Khamis.

Pada 3 Ogos lepas, polis menemui keratan tubuh dan organ manusia termasuk usus dalam beberapa beg plastik serta dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang.

Selepas siasatan awal, polis mengesahkan kesemua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita warga asing berumur 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki yang dianggar berusia 20 bulan.

Baru-baru ini, polis menahan lapan suspek warga Bangladesh berumur antara 26 dan 38 tahun di Ampang bagi membantu siasatan. Polis juga menemui satu alat yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu. - BERNAMA

Artikel Lain