suria

Pembunuhan Banting: Peguam Mohon Barisan Pendakwaan Dikenakan Tindakan Menghina Mahkamah

SHAH ALAM: Peguam yang terlibat dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pada Khamis, memohon agar pihak pendakwaan yang mengendalikan perbicaraan kes tersebut dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Peguam Manjeet Singh Dhillon membuat permohonan itu sebaik sahaja prosiding di Mahkamah Tinggi di sini, bermula dengan menjadikan pendakwaan terhadap saksi utama, U. Suresh, 27, di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, sebagai asas kepada permohonan tersebut.

Semalam, Suresh mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberikan keterangan palsu 25 dan 27 Julai lalu, antara pukul 9.30 pagi dan 12 tengah hari pada prosiding perbicaraan kes pembunuhan yang menggemparkan negara ketika umat Islam sedang rancak membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dia didakwa memberikan 22 keterangan di mahkamah yang berbeza daripada keterangannya kepada pegawai soal siasat, Asisten Superintendan (ASP) Ong Seng Keong pada 26 Oktober 2010 di Penjara Sungai Udang, Melaka, tempat dia sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti kes tersebut.

Pada prosiding itu, Manjeet berkata, pendakwaan terhadap Suresh tidak sepatutnya berlaku memandangkan prosiding masih berjalan dan Hakim Datuk Akhtar Tahir masih belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan saksi meskipun pihak pendakwaan telah membuat permohonan untuk mencabar kebolehpercayaannya.

"Semalam (Rabu), Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani telah mengendalikan pendakwaan terhadap Suresh manakala Saiful Edris Zainudin berada di dalam mahkamah pada waktu itu," katanya dan menambah, berita mengenai pendakwaan itu dilaporkan media pada Khamis.

Peguam Amer Hamzah Arshad pula memberitahu, beliau dan peguam-peguam Gurbachan Singh dan Ravi Nekoo telah mengadakan perbicangan selepas mengetahui perkara itu dan berasa 'terganggu' dengan pendakwaan tersebut. Semua mereka juga menyokong permohonan itu.

Suresh juga tambah Amer Hamzah, boleh dipanggil semula sebagai saksi sekiranya diperlukan.

Menjawab dakwaan tersebut, Saiful Edris berkata, keputusan untuk mendakwa adalah terletak di bawah bidang kuasa Pendakwa Raya dan tidak perlu semestinya menunggu sehingga hakim terbabit memberi keputusan.

"Kami juga telah menunjukkan bahawa saksi kami sendiri (Suresh merupakan saksi pendakwaan ke-29) keterangan bercanggah yang berlainan daripada keterangannya kepda pihak polis," tambah beliau.

Hakim Akhtar selepas mendengar hujahan-hujahan tersebut memutuskan bahawa beliau perlu mendengar hujahan lanjut berhubung isu itu memandangkan pendakwaan terhadap Suresj dibuat semasa prosiding masih belum selesai.

"Keputusan juga masih belum dibuat. Isu yang timbul adalah berkaitan masa. Adakah ini masa yang sesuai untuk mendakwa Suresh?," katanya dan menetapkan Isnin depan untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujahan masing-masing.

Dalam kes ini, Suresh telah dipanggil untuk memberikan keterangan terhadap bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, T.Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R.Kathavarayan, 31, yang didakwa atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; serta pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad; dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Semua mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di ladang beralamat Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Insightly Gmail Gadget v2

Artikel Lain