suria

Kehadiran Pendatang Asing Bebankan Rakyat, Kerajaan

KUALA LUMPUR: Kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara ini selain membebankan kerajaan daripada segi pengurusan dan kos, juga membawa kesan negatif kepada masyarakat tempatan daripada sudut sosial, kata seorang pakar sosial.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata kedatangan Pati membawa impak kepada kegiatan antisosial seperti jenayah termasuk yang serius.

Banyak kes pembunuhan, rompakan, pecah rumah dan mencuri membabitkan Pati dengan kes terbaru melibatkan penahan lapan lelaki Bangladesh berhubung pembunuhan wanita Indonesia yang dikerat 15 bahagian di Apartmen Astaria, Taman Kosas, Ampang.

Turut dibunuh ialah anak lelaki wanita itu.

Rumah-rumah urut pula menggunakan khidmat wanita warga asing, dan apa yang membimbangkan ialah golongan belia sudah mula berjinak-jinak mengunjungi tempat ini.

"Golongan ini (Pati) juga terbabit dengan kegiatan kurang bermoral seperti meminta sedekah. Mereka juga membawa nilai agama dan bangsa yang kontroversial," kata Mohamed Fadzil kepada Bernama di sini Rabu.

Oleh itu, katanya, wajarlah kerajaan melaksanakan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin, dikenali sebagai 6P, yang bermula serentak di Semenanjung dan Sarawak sejak 1 Ogos lepas.

"Mereka juga membabitkan belanja untuk kos penahanan dan menghantar mereka pulang ke negara asal. Saya sangat bersetuju Kementerian Dalam Negeri terutamanya Jabatan Imigresen Malaysia mengadakan program 6P yang sebahagian besar akan mengatasi masalah-masalah sosial ini," katanya.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, sehingga 8 Ogos, 1,548,798 Pati dan pekerja asing sah telah didaftar melalui program itu. - BERNAMA

Artikel Lain