suria

Kabinet Bincang Urusan Tanah PKFZ Berulang Kali, Kata Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa Kabinet berulang kali membincangkan urusan tanah bagi projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Kementerian Pengangkutan Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, berkata perbincangan itu termasuk sama ada membeli atau mengambil balik tanah di Pulau Indah.

"Kalau tidak silap saya, perkara ini (membeli atau mengambil balik tanah) sering dibincangkan di kabinet," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah pada perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, Khamis.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000, sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002.

Pada prosiding hari ini, Abdul Rahman berkata untuk mendapatkan keputusan daripada kabinet berhubung permohonan atau permintaan yang dibuat melalui nota, satu memorandum perlu disediakan.

"Tapi dalam kes ini (PKFZ), kita (Kementerian Pengangkutan) tidak pernah menyediakan apa-apa memorandum, sebaliknya ia hanya disediakan oleh pihak Perbendaharaan, Kementerian Kewangan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Udara Kementerian Pengangkutan P.Chandrasekaran, 56, mengesahkan beliau ada menyediakan surat kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd Datuk Seri Tiong King Sing pada 2 Oktober, 2000 berhubung 'Cadangan Untuk Membeli Tanah di Lot 67894 Seluas 830 Ekar di Pulau Indah Untuk Pembinaan Transhipment Megahub'.

Bagaimanapun, saksi kelima pendakwaan itu berkata surat tersebut dideraf mengikut arahan Abdul Rahman kerana beliau tidak tahu cara menulis kandungannya.

"Saya beritahu Abdul Rahman bahawa saya tidak tahu hendak menulis surat ini dan beliau minta saya duduk dan mengajar saya menulis surat itu," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup. - BERNAMA

Artikel Lain