suria

GLC Bincang Penyelesaian Kes Saman Sivil Terhadap Tajudin

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kini dalam perbincangan bagi penyelesaian global untuk semua kes saman sivil di semua peringkat mahkamah terhadap bekas Pengerusi Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli.

Kes itu kini diuruskan oleh Hakim Pengurusan Bahagian Perdagangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Tan Sri Md Raus Sharif, yang juga merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Hakim Md Raus menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes selepas mengadakan pertemuan dengan peguam pihak-pihak yang terbabit di kamarnya bagi membolehkan mereka memaklumkan mahkamah perkembangan terbaru berhubung perbincangan bagi penyelesaian kes berkenaan.

Antara GLC yang terbabit dalam saman itu adalah MAS, Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporation Bhd, Celcom (M) Bhd, Pengurusan Danaharta Bhd dan Atlan Holdings Bhd.

Terdapat lebih 10 kes tertangguh di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, di mana kebanyakan kes difailkan pada 2004, iaitu masih dalam proses perbincangan.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz apabila dihubungi mengesahkan terdapat cadangan untuk penyelesaian di luar mahkamah.

Beliau berkata kerajaan telah menimbangkan untuk penyelesaian berikut lebih enam bulan lepas bagi faedah pihak-pihak yang terlibat, memandangkan jika kes itu diteruskan di mahkamah, ia akan mengambil masa yang panjang.

Bagi sesetengah syarikat seperti Telekom dan Malaysia Airlines, terpulang kepada mereka untuk menentukan sama ada mereka mahu meneruskan penyelesaian itu kerana mereka boleh membuat keputusan tanpa campur tangan kerajaan, tambah beliau.

Nazri berkata jika syarikat itu enggan menyelesaikan kes itu di luar mahkamah, perbicaraan penuh akan dijalankan. - BERNAMA

Artikel Lain