suria

Tukul Besi Dipercayai Digunakan Dalam Pembunuhan Kejam Di Taman Kosas

SHAH ALAM: Polis Selangor pada Selasa mendedahkan tukul besi ialah antara senjata yang dipercayai digunakan dalam kes pembunuhan seorang wanita dan kanak-kanak lelaki di Taman Kosas, Ampang, Selangor Rabu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata kesan kecederaan pada badan si mati hampir sama dengan kesan penggunaan tukul besi.

Beliau juga berkata pakar perlu menganalisis keadaan mayat sebelum mengetahui punca kematian kedua-dua mangsa dan polis sedang mengenal pasti sama ada kanak-kanak lelaki itu anak wanita berkenaan.

Katanya, setakat ini lebih 100 orang ditemu bual dan keterangan 40 saksi diambil, termasuk seorang lelaki yang dikatakan suami wanita malang itu.

"Lelaki itu berkata si mati hilang 29 Julai lepas. Dia menyedari perkara ini selepas wanita itu tidak balik ke rumah mereka," katanya.

Mayat wanita dan kanak-kanak itu ditemui dalam beberapa beg plastik di sebuah apartmen yang tidak berpenghuni dalam keadaan badan mereka dikerat-kerat. - BERNAMA

Artikel Lain