suria

Suresh Didakwa Beri Keterangan Palsu

SHAH ALAM: Saksi pendakwaan ke-29 dalam kes perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, pada Rabu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberikan keterangan palsu pada perbicaraan tersebut.

U. Suresh, 27, yang merupakan pekerja di ladang yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan kejam itu bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu didakwa melakukan kesalahan itu itu pada 25 dan 27 Julai lalu, antara pukul 9.30 pagi dan 12 tengah hari di Mahkamah Tinggi 8, di sini pada perbicaraan Pendakwa Raya lawan N. Pathmanabhan, 42, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, yang diadakan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Keterangannya di Mahkamah Tinggi didakwa telah diketahuinya sebagai palsu dan berbeza daripada keterangan yang diberikannya kepada pegawai polis yang merakamkan percakapannya, Asisten Superintendan (ASP) Ong Seng Keong pada 26 Oktober 2010 di Penjara Sungai Undang, Melaka.

Bagi kesalahan itu, Suresh didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimul Azami Mohamad Nor tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh memandangkan dia sedang menjalani hukuman penjara selama 20 tahun atas kesalahan melupuskan bahan bukti pembunuhan tersebut.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, A. S. Dhaliwal memohon agar jaminan diberikan kepada anak guamnya, atas alasan peruntukan undang-undang jelas membenarkan seseorang tertuduh di bawah Seksyen 193 diberikan jaminan.

Membidas hujahan itu, Nur Azimul Azami berkata, beliau tidak menafikan peruntukan undang-undang, tetapi pada masa yang sama, mahkamah perlu mengambil kira bahawa tertuduh sedang menjalani hukuman penjara atas satu kesalahan yang sangat serius.

"Kesalahan yang dilakukan adalah berat. Sekiranya mahkamah mahu membenarkan jaminan, saya mohon agar ditetapkan pada jumlah RM100,000 memandangkan terdapat 22 keterangan yang bercanggah," katanya.

Mendengarkan jumlah itu, Dhaliwal membuat bantahan kerana menurutnya, jumlah tersebut sangat tinggi dan seolah-olah bersifat menghukum tertuduh serta memohon jaminan dikurangkan menjadi antara RM5,000 hingga RM10,000.

Pada prosiding itu, Dhaliwal juga memaklumkan bahawa permohonan Suresh untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu akan diadakan di Mahkamah Rayuan pada 24 Ogos ini.

"Jika dibenarkan, mungkin tertuduh akan dibawa semula ke Mahkamah Majistret Telok Datok (mahkamah di mana tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan membuang abu mayat semua mangsa pembunuhan itu) untuk pegakuannya diambil semula," katanya yang mewakili tertuduh bersama peguam Devinder Kaur Dhaliwal.

Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani bagaimanapun berkata, permohonan itu baru di peringkat untuk mendapatkan kebenaran dan bukannya prosiding pendengaran penuh.

Selepas mendengar hujahan tersebut, Mohamed Mokhzani membenarkan tertuduh yang hadir di mahkamah dengan memakai baju seragam penjara berwarna merah dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 November depan sebagai sebutan semula kes.

Suresh merupakan saksi utama dalam kes pembunuhan Sosilawati, 47; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas bertolak ke Banting, dekat sini.

Pathmanabhan, 42, yang merupakan bekas peguam dibicarakan atas dakwaan melakukan jenayah itu bersama tiga pekerja ladangnya, T.Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah ladang beralamat Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Pada 27 Julai lalu, Hakim Akhtar memutuskan Suresh adalah seorang saksi pendakwaan yang berpaling tadah berdasarkan 22 keterangannya yang bercanggah, selain diperhatikan Akhtar melalui cara saksi tersebut menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Percanggahan-percanggahan terbabit melibatkan dakwaan mengenai apa yang berlaku dari saat mangsa tiba di ladang itu hingga kepada keesokan harinya, dan Suresh pada keterangan di mahkamah juga menafikan bahawa dia mengenali Pathmanabhan, yang merupakan majikannya.

Selain itu, Suresh juga menafikan bahawa dia melihat kejadian yang didakwa berlaku terhadap mangsa kerana menurutnya, dia berada di Cheras pada malam kejadian kerana membantu bapa saudaranya yang menjalankan kerja-kerja pemasangan kanopi.

Artikel Lain