suria

Rakyat Malaysia Diminta Maklum Kepada Suruhanjaya Tinggi Sekiranya Ingin Ke London

KOTA KINABALU: Rakyat Malaysia yang bercadang melawat Britain khususnya London dinasihatkan supaya memaklumkan kepada Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di kota berkenaan mengenai jadual perjalanan mereka.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada malam Selasa berkata tindakan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga berikutan rusuhan semakin merebak di kawasan-kawasan lain di London.

Pada sidang media di sini, Anifah memberikan nombor telefon untuk keluarga yang mempunyai saudara mara di London bagi mendapatkan maklumat berikutan rusuhan telah masuk hari keempat pada Selasa.

Rakyat di Malaysia boleh mendapatkan maklumat dengan memanggil Kementerian Luar di talian 03-888-74353, 888-74570 dan 888-92746.

Mereka juga boleh menghubungi Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di talian ++44-020-7919-0242.

Di Bangi, Selangor, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pelajar Selangor, Asyraf Hazlan, berusia 20-an, mengalami kecederaan tulang rahang dan kini dirawat di Hospital Royal London.

Katanya pelajar perakaunan tajaan MARA itu diserang oleh sekumpulan perusuh ketika dalam perjalanan untuk menemui seorang kawan untuk berbuka puasa. - BERNAMA

Artikel Lain