suria

MAS & AirAsia Umum Pelantikan Baru

KUALA LUMPUR: Malaysian Airline System Bhd (MAS)telah mengumumkan pelantikan Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif berkuatkuasa 11 Ogos ini.

Fernandes ialah pengasas/pegawai eksekutif kumpulan AirAsia Bhd manakala Kamarudin ialah pengasas bersama Tune Group dan timbalan ketua pegawai eksekutif AirAsia sejak Disember 2001.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAS juga mengumumkan pelantikan Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah, Tan Sri Tan Boon Seng, Datuk Rohana Rozhan dan David Lau Nai Pek sebagai anggota lembaga pengarah bukan eksekutif MAS yang baru.

Mohammed Rashdan Mohd Yusof akan mengambil alih jawatan pengarah eksekutif yang baru. Lembaga Pengarah MAS turut mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Urusan MAS, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin berkuatkuasa Selasa, 9 Ogos.

Azmil akan kembali menyertai Khanazah Nasional Bhd sebagai pengarah eksekutif pelaburan berkuatkuasa 12 September depan.

MAS turut mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa eksekutif yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Md Nor Yusof.

Anggota exco jawatankuasa eksekutif ini pula terdiri daripada Datuk Mohamed Azman Yahya, Mohammed Rashdan Mohd Yusof, Tan Sri Tony Fernandes and Datuk Kamarudin Meranun.

AirAsia Bhd pula turut mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Azman Yahya sebagai pengarah bukan eksekutif dan bukan bebas baru sementara Mohammed Rashdan Mohd Yusof akan dilantik sebagai pengarah alternatif.

Artikel Lain