suria

Kanak-kanak Mati Bersama Wanita Dikerat Berusia 20 Bulan

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak lelaki yang ditemui mati bersama keratan mayat wanita di sebuah pangsapuri di Ampang baru-baru ini, disahkan baru berusia 20 bulan.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata hasil siasatan mendapati mangsa bukan berusia antara lima hingga enam tahun seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Beliau bagaimanapun berkata polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti sebenar dan menentukan sama ada kedua-dua mangsa mempunyai pertalian darah.

"Polis juga masih dalam proses menyoal siasat lapan lelaki Bangladesh yang ditahan berhubung kes itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata polis hingga kini masih belum lagi memperoleh apa-apa dokumen perkahwinan dari lelaki Sabah yang mendakwa dirinya suami kepada wanita itu dan bapa kepada anak tersebut.

"Kita belum boleh memastikan pertalian lelaki tersebut bersama wanita itu kerana kita belum lagi melihat apa-apa dokumen tentang perkahwinan mereka," katanya.

Pada 3 Ogos lepas, polis menemui keratan tubuh dan organ manusia termasuk usus dalam beberapa beg plastik serta dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang.

Selepas siasatan awal, polis mengesahkan kesemua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang pada mulanya dianggarkan berusia antara lima dan enam tahun.

Tiga hari kemudian, lapan lelaki asing berumur antara 26 dan 38 tahun ditahan di Ampang bersama satu alat yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu. BERNAMA

Artikel Lain