suria

Sumbangan Perajurit Negara Harus Dihargai:Rosmah

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor berkata semua pihak harus menghargai sumbangan perajurit negara kerana pengorbanan mereka menjadi sebahagian daripada sejarah negara.

Isteri Perdana Menteri berkata ini kerana selain mempertahankan kedaulatan negara, pasukan keselamatan diiktiraf di arena antarabangsa kerana penglibatan dalam tugas sebagai pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di beberapa negara.

"Benarlah bahawa Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan keselamatan merupakan tulang kepada negara yang ternyata pengorbanan mereka yang tidak terbatas kepada memerangi petualang negara malah di waktu aman.

"Janganlah kita mengambil mudah sumbangan para perajurit negara kerana kita mungkin tidak akan dapat tidur lena tanpa pengorbanan mereka ini," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada anggota tentera di Kementerian Pertahanan di sini Selasa.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) turut melahirkan rasa kagum dengan kesiapsiagan para perajurit tanpa mengira waktu dan tempat dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan semangat patriotik.

Beliau berkata jasa dan pengorbanan mereka yang bertugas di perbatasan dan perantauan sewajarnya mendapat pujian dan pengiktirafan yang tinggi daripada masyarakat.

Pada majlis itu, sebanyak 15,000 beg galas mengandungi antaranya kuih, makanan segera, minuman, kain pelikat, sumbangan pelbagai pihak termasuk Bakti, MTU Services (Malaysia) Sdn Bhd, Koperasi Tentera, Affin Bank Berhad, Pharmaniaga Berhad, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Sime Darby Holdings Berhad, diserahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk diagih-agihkan kepada anggota tentera yang bertugas pada Hari Raya.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, yang juga Naib Yang Dipertua Bakti, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin. - BERNAMA

Artikel Lain