suria

Rusuhan London: Tiada Rakyat Malaysia Terlibat, Pelajar Bercuti

KOTA KINABALU: Tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam rusuhan di London yang tercetus pada hujung minggu lepas, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Malah, katanya rakyat Malaysia sebenarnya tidak ada sama sekali di kawasan itu.

"Saya mendapat laporan daripada Pesuruhjaya Tinggi kita di sana, Datuk Zakaria Sulong, bahawa rakyat kita terutamanya pelajar, sedang bercuti.

"Sebahagian besar daripada mereka telah pun pulang ke tanah air, tetapi saya menasihati rakyat Malaysia di kawasan berhampiran supaya tidak pergi ke kawasan yang tertentu," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa kementeriannya di sini malam Isnin.

Rusuhan dan samun tercetus pada Sabtu di Tottenham di Utara London susulan tunjuk perasaan aman berhubung kematian Mark Duggan, seorang penduduk tempatan berkulit hitam yang berusia 29 tahun, selepas ditembak polis dua hari sebelum itu.

Bagaimanapun, Anifah berkata keadaan masih selamat untuk melakukan perjalanan ke Britain, namun menasihati rakyat Malaysia agar menjauhkan diri dari Tottenham, sebuah kawasan dengan kadar pengangguran yang tinggi dan diselubungi isu perkauman, buat sementara waktu.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia akan mengusahakan penyelesaian yang berkesan bersama anggota negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berhubung cara untuk membantu penduduk Somalia menangani krisis kebulurannya.

Anifah berkata kerajaan akan turut melaksanakan peranannya untuk membantu dalam situasi mencemaskan di negara Afrika yang dilanda perang saudara itu.

"Lazimnya, Malaysia akan menghantar barang keperluan seperti makanan, ubat-ubatan, pakaian dan wang. Bagaimanapun kami juga harus menimbangkan faktor logistik untuk menghantar bantuan memandangkan kedudukan Somalia yang sangat jauh," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain