suria

Program Jalinan Ikhtiar Bantu Kerajaan Basmi Kemiskinan Di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Program bantuan kewangan 'Jalinan Ikhtiar' untuk keluarga miskin di sekitar ibu negara dapat membantu kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan membasmi kemiskinan bandar.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata program kerjasama antara Sime Darby Bhd (Sime Darby) dan Yayasan MyKasih dalam memberi bantuan kepada 100 keluarga yang menetap di Jalan Ipoh dan Keramat di sini harus dicontohi syarikat swasta yang lain.

"Kerajaan berharap usaha tanggunjawab sosial korporat (CSR) Sime Darby ini akan diteruskan pada masa depan demi mengurangkan golongan miskin di bandar dan merealisasikan sasaran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk melihat sejumlah 20,000 isi rumah bebas daripada kategori miskin menjelang tahun 2014," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jalinan Ikhtiar oleh Sime Darby dan Yayasan MyKasihdi sini, Isnin.

Turut hadir ialah Pengarah Yayasan MyKasih Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas dan Naib Presiden Eksekutif Sumber Manusia Sime Darby Zulkifli Zainal Abidin.

MyKasih adalah sebuah organisasi bukan mengaut keuntungan, yang memberi bantuan kewangan, makanan dan penganjuran pelbagai program latihan kepada golongan miskin dan kurang bernasib baik tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan di Malaysia.

Pada majlis itu, Zulkifli menyerahkan cek berjumlah RM104,000 kepada Megat Najmuddin untuk program tersebut.

Zulkifli berkata program Jalinan Ikhtiar selama setahun yang telah pun bermula Jun lepas akan membantu keluarga miskin menerusi bantuan kewangan setiap bulan.

"Setiap keluarga miskin yang berpendapatan di bawah RM1,000 sebulan itu akan menerima bantuan RM80 sebulan. Elaun ini akan disalurkan ke dalam akaun MyKad setiap ketua keluarga yang terbabit dalam program ini (dan mereka boleh membuat) pembelian makanan dan barangan menerusi MyKad di pasar raya Giant dan Brem Mall, Kepong."

"Proses pembayarannya adalah mudah dan tiada pertukaran wang tunai ataupun tanda tangan diperlukan, mereka hanya perlu menggunakan MyKad mereka dan nombor pengenalan peribadi (nombor PIN) yang akan diberikan kepada mereka untuk setiap tranksaksi yang dijalankan," katanya.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata beliau telah meminta Persatuan Penduduk Kampung Sungai Penchala menyelesaikan masalah berkaitan pembukaan semula jalan dari Jalan Datuk Sulaiman 1, Taman Tun Dr Ismail ke Kampung Sungai Penchala dengan pemaju perumahan, Rah Properties dan Ace Sdn Bhd. - BERNAMA

Artikel Lain