Penyelia Pusat Hiburan Ditemui Mati Tergantung - Semasa | mStar

Penyelia Pusat Hiburan Ditemui Mati Tergantung

GEORGETOWN: Seorang penyelia pusat hiburan ditemui mati tergantung manakala isterinya pula ditemui mati dengan kesan kelar di leher di dalam bilik di sebuah pangsapuri di Jalan Siput Lala, Tanjung Tokong malam Isnin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Mohd Nasir Salleh berkata lelaki berkenaan Ooi Chong Seng, 29, yang bekerja di sebuah pusat hiburan berhampiran, ditemui mati dengan lehernya tergantung pada kain di tingkap.

Mayat isterinya pula, Yang Xiaohua, 20-an, warga China yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO), ditemui terbaring di atas katil di dalam bilik yang sama dengan kesan kelar di leher.

Ketika ditemui pemberita di tempat kejadian malam tadi, Mohd Nasir berkata polis yang menerima maklumat daripada rakan kepada salah seorang mangsa yang membuat laporan polis di Balai Polis Pulau Tikus kira-kira 8.20 malam, segera bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata polis terpaksa memecah masuk ke pangsapuri tersebut yang terletak di tingkat tiga selepas mendapati pintu rumah dikunci dari dalam dan hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dua mayat di bilik hadapan pangsapuri empat tingkat itu.

"Siasatan awal pihak patologi mendapati kejadian dipercayai berlaku 16 jam sebelum disedari oleh salah seorang rakan mangsa yang membuat laporan polis selepas gagal menghubungi mangsa," katanya.

Beliau berkata sijil perakuan kahwin kedua-dua mangsa yang dikeluarkan dari negara Thailand dan sebilah pisau buah-buahan yang dipercayai digunakan sebagai senjata, turut dijumpai di tempat kejadian.

"Siasatan awal polis mendapati motif kejadian disebabkan timbulnya perasaan cemburu mangsa lelaki yang bertindak mencekik isterinya sebelum membunuh diri," katanya.

Mohd Nasir berkata kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Katanya polis meminta kerjasama orang ramai khususnya jiran kepada mangsa yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Mohd Naim Asmawi di talian 019-5728844 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2181822.

Sementara itu, bapa Chong Seng, Ooi Kon Liong, 56, seorang nelayan dari Teluk Kumbar, berkata anak sulungnya adalah seorang yang berdikari.

"Chong Seng jarang memberitahu kami tentang kehidupan sehariannya dan kami pun tidak mengetahui bahawa dia telah mendirikan rumah tangga bersama seorang perempuan warga China tetapi saya berasa amat sedih kerana kehilangan seorang anak yang berdikari," katanya ketika ditemui pemberita.

Katanya Chong Seng, yang hanya bersekolah sehingga tingkatan empat, berpindah keluar untuk menyewa rumah di Tanjung Tokong, lima tahun lepas.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan Chong Seng adalah ketika dia balik ke rumah untuk beri kami wang saku bulanan dan makan malam bersama ibu dan adik perempuannya, dua minggu yang lalu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Perbaiki Sistem Agihan JKM, Baitulmal

Artikel Berkaitan

Artikel Lain