suria

Palanivel Angkat Sumpah Jawatan Di Istana Negara

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, hari ini mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini.

Hadir pada majlis itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Palanivel, 62, sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika rombakan kecil kabinet pada 4 Jun 2010.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Palanivel pernah menjadi Anggota Parlimen Hulu Selangor dari 1990 hingga 2008. Beliau tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada pilihan raya umum yang diadakan pada Mac 2008 dengan majoriti 198 undi.

Palanivel dilantik sebagai Presiden MIC menggantikan Datuk Seri S Samy Vellu pada 6 Disember 2010.

Pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri diumum Najib pada Perhimpunan Agung MIC 30 Julai lepas. -BERNAMA

Artikel Lain