suria

Najib Berbuka Puasa Bersama Menteri Kabinet, Menteri Besar, Bekas PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin berbuka puasa bersama anggota Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri di kediaman rasminya, di Seri Perdana, di sini.

Turut hadir, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Tun Abdullah Ahmad Badawi, pegawai tinggi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), hadir sama. Pada majlis itu, Najib selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda, turut menyampaikan zakat perniagaan Kumpulan Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) Berhad kepada 14 buah Pusat Zakat Negeri (PZN).

Jumlah bayaran zakat Kumpulan Felda dan KPF bagi 2010 berjumlah RM17.65 juta.

PZN Pahang adalah penerima terbesar zakat itu iaitu sebanyak RM5.97 juta diikuti Johor (RM3.4 juta), Sabah (RM2.56 juta) dan Negeri Sembilan (RM1.1 juta).

Bayaran zakat itu adalah kali yang ketujuh sejak 2005.

Najib turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih selepas majlis berbuka puasa itu.

Perdana Menteri turut meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada 50 anak yatim dari Rumah Darul Kifayah, Taman Koperasi Polis, Batu Caves, Selangor, pada majlis tersebut.

Najib pada Isnin kembali bertugas selepas menjalani pembedahan lutut kirinya, yang cedera akibat bersukan, di Hospital Kuala Lumpur pada Isnin lepas. - BERNAMA

Artikel Lain