suria

Miliki Mercun: Juruperunding Kejuruteraan Didenda RM6,500

KANGAR: Seorang perunding kejuruteraan, Khalimudin Che Din dijatuhi hukuman denda RM6,500 atau penjara enam bulan oleh mahkamah majistret di sini kerana memiliki sejumlah mercun dan bunga api.

Majistret Nurshahida Abd Rahim menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan.

Khalimudin, 52, dituduh mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki sejumlah mercun dan bunga api di premis No 2, Jalan Maju 5, Taman Kemajuan di sini pada 4 Ogos lalu pukul 5.15 petang.

Sabit kesalahan mengikut seksyen itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuannya, Khalimudin berkata dia seorang duda yang mempunyai tanggungan seorang anak lelaki berusia 11 tahun dan berharap hukuman diringankan.

Bagaimanapun timbalan pendakwa raya, Noorsyazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan seumpama itu. -BERNAMA

Artikel Lain