suria

Kementerian Beri Jaminan Barangan Keperluan Tetap Mencukupi

KOTA BARU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan semua bekalan makanan bagi keperluan Aidilfitri ini mencukupi memandangkan kementerian telah mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak masalah kekurangan bekalan.

Menterinya Datuk Seri Noh Omar berkata kementerian telah membuat perancangan sebulan sebelum Ramadan antaranya dengan memberikan permit import tambahan kepada pengusaha yang mahu mengimport daging, ikan serta ayam dari luar negara.

"Kesimpulannya kesemua bekalan makanan kita jamin mencukupi kerana langkah perlu itu diambil sejak awal lagi. Sepatutnya memang tidak ada masalah mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Banjir kepada Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini Selasa.

Noh berkata selain bekalan ayam dijamin mencukupi, pihak penternak juga telah bersetuju untuk menjual ayam pada harga ladang RM5.20 sekilogram.

"Bekalan daging ada sedikit masalah dan kita berharap bekalan dari Sudan dan China akan dapat masuk segera dan itu terpulang kepada langkah segera yang diambil oleh syarikat yang dibenarkan mengimport bekalan itu," katanya.

Noh berkata setiap syarikat yang mahu mengimport bekalan daging dan ayam perlu mendapatkannya daripada rumah sembelihan luar negara yang mendapat kelulusan kementerian dan mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Dalam pada itu, katanya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menambah 58 buah lagi pasar tani baru di seluruh negara menjadikannya kini lebih 400 kesemuanya yang bertujuan bagi menstabilkan harga barangan dan memastikan bekalan sayur-sayuran mencukupi.

Beliau juga telah meminta FAMA agar dapat menjual barangan keperluan pada harga yang lebih murah kepada pengguna.

Sementara itu Noh kesal dengan kerajaan PAS Kelantan yang gagal memberikan bantuan banjir kepada petani yang terjejas akibat bencana itu pada saban tahun sedangkan jumlah bantuan tidak sebesar di negeri lain.

"Kerajaan Kelantan lepas tangan sedangkan peruntukan hanya sekitar RM4 juta sahaja untuk tujuan itu dan kementerian kesal sikap lepas tangan itu," katanya.

Pada majlis itu Noh turut menyerahkan wang ihsan itu kepada 2,592 petani dalam kawasan KADA dengan peruntukan keseluruhan RM3.46 juta.

Petani yang mengalami kerugian ketika padi hampir masak diberi bantuan RM1,800 bagi setiap hektar tanah yang diusahakan manakala mereka yang kerugian bagi tanaman baru diberikan RM360 bagi setiap hektar. - BERNAMA

Artikel Lain