suria

Kejadian Tanah Runtuh Berlaku Begitu Pantas - Ibu Mangsa

CAMERON HIGHLANDS: Ibu kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di sini semalam berkata kejadian itu berlaku sangat pantas selepas hujan lebat tanpa henti selama satu jam.

Munjut a/p Kelet, 69, ibu kepada Jaafar Balad, 48, berkata semasa kejadian beliau terdengar bunyi dentuman kuat seperti letupan bom di bahagian tepi rumahnya ketika tinggal berseorangan di dalam rumah itu.

"Saya bergegas keluar dan ternampak rumah Jaafar sudah tenggelam ditimbus tanah," katanya kepada pemberita semasa menunggu giliran proses pengecaman mayat di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata di sini, Isnin.

Beliau berkata ketika tragedi itu, Jaafar bersama isterinya Norma Gunung, 51, dan anak mereka Mohd Ikbal Jaafar, 15, sedang menyiapkan juadah untuk berbuka puasa manakala saudaranya yang lain berada di dalam rumah menunggu waktu berbuka.

Anak lelaki Jaafar iaitu Zulkarnain, 18, ketika ditemui pemberita di hospital itu berkata beliau mendapat berita tentang kejadian berkenaan pada 5 petang semalam.

"Saya mendapat panggilan telefon daripada saudara di kampung mengatakan rumah ditimbus tanah runtuh," katanya.

Beliau yang merupakan penuntut tahun satu jurusan Diploma Sains Kesihatan di Institut As-Shifa, Taiping berkata beliau sangat terkilan dengan kehilangan kedua ibu bapa dan adik bongsunya.

"Kali terakhir saya pulang minggu lepas untuk bertemu keluarga saya dan saya tak sangka itu kali terakhir saya bertemu mereka," katanya.

Tiga sekeluarga yang maut, Jaafar, Norma dan Mohd Ikbal, selain saudara mereka iaitu Normadiah Lasik, 69, Sara Gunung,37, dan Yusniza Yusuf, 22, juga meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil itu.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata dan menunggu masa untuk dikebumikan mengikut kepercayaan agama masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain