suria

Wanita Warga Emas Lumpuh Rentung Dalam Kebakaran

PASIR MAS: Seorang wanita warga emas yang lumpuh, rentung dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Kubang Pak Amin di sini, malam Ahad.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10.30 malam ketika Che Yam@Zahrah Semail, 72, ditinggal berseorangan di rumah semasa anak, menantu, besan dan cucu-cucunya keluar menunaikan solat tarawih tidak jauh dari rumah mereka.

Menantunya Mohd Zulkifli Ibrahim, 48, berkata rumah papan itu didiami lapan sekeluarga termasuk ayah kandungnya, isteri, empat anak dan mangsa.

"Sejak mula puasa termasuk malam tadi, kami semua meninggalkan ibu mentua berseorangan untuk menunaikan solat tarawih di surau berhampiran dan kebetulan malam tadi tiada bekalan elektrik, kami cuma pasang lilin di dalam rumah.

"Selepas tarawih kira-kira pukul 10.10 malam, kami semua ke kedai runcit kira-kira 100 meter dari rumah dan ketika di sana kami diberitahu tentang kebakaran itu oleh penduduk kampung," katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya sebaik tiba di rumah mereka, api sudah membakar hampir keseluruhan rumah dan dia cuba masuk untuk menyelamatkan ibu mentua tetapi gagal kerana api amat marak.

Zulkifli berkata ibu mentuanya ditemui rentung di ruang tamu rumah yang menjadi tempat tidur mereka sekeluarga.

"Kami sekeluarga memang suka tidur di ruang tamu termasuk ibu mentua, di situ juga ada tilam dan kelambu yang disediakan untuknya. Mungkin kebakaran itu berlaku ketika ibu mentua cuba menarik kelambu seperti kebiasaannya dan terkena lilin yang diletak berhampiran," katanya.

Jenazah mangsa akan dikebumikan sebelum tengah hari ini di tanah perkuburan berhampiran.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Azmi Osman ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 10.36 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan lapan anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas.

"Sebaik tiba, rumah jenis papan itu sudah 85 hingga 90 peratus terbakar menyebabkan mangsa dan barang-barang di dalam rumah tidak sempat diselamatkan. Mangsa yang rentung ditemui terbaring dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Lati, Pasir Mas untuk dibedah siasat," katanya.

Azmi berkata turut hangus dalam kebakaran itu ialah sebuah kereta Perodua Kancil milik Mohd Zulkifli, dan jumlah kerugian dianggar RM70,000. - BERNAMA

Artikel Lain