suria

Serbu Gereja: 45 NGO Sokong JAIS

SHAH ALAM: Kira-kira 45 Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam Selangor (NGO) pada Isnin sepakat mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam (JAIS) melakukan pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama di Seksyen 13, Petaling Jaya Rabu lalu.

Menurut jurucakap kumpulan NGO Islam tersebut, Dr Dzulkhaini Husin mendakwa, pihaknya mempunyai cukup bukti bahawa pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai asas berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan dikalangan Orang Islam) 1998.

"Kami telah memeriksa perkara ini dengan JAIS, selama beberapa hari dan membuat kesimpulan bahawa tindakan JAIS semata-mata untuk mempertahankan syiar Islam," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang apologetik dan tidak mempertahankan JAIS dalam isu ini.

"Kami minta kerajaan negeri Selangor tidak bertindak luar dari bidang kuasanya. Menteri Besar (MB) seharusnya tidak berkompromi dengan status dan hak yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan MB tidak perlu berasa apologetik dan memohon maaf kepada penganut agama lain berkaitan isu ini, lebih-lebih lagi sebelum hasil kajian disempurnakan," katanya.

Beliau mendakwa, kerajaan negeri Selangor telah bertindak di luar bidang kuasa dalam hal-hal berkaitan agama Islam.

"MB seharusnya tidak berkompromi dengan status dan hak yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan beliau juga tidak perlu berasa apologetik dan memohon maaf kepada penganut agama lain berkaitan isu ini, lebih-lebih lagi sebelum hasil kajian disempurnakan.

"Seharusnya, MB tidak membelakangkan peranan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS dalam melaksanakan tanggungjawan mereka untuk mempertahankan kesucian agama Islam semata-mata kerana kepentingan politik," katanya.

Justeru, Dzulkhaini berkata Abdul Khalid tidak wajar menanamkan bibit-bibit kesangsian antara kaum dan tidak memberi ruang sewenang-wenangnya kepada pihak-pihak untuk memberikan kenyataan yang mengelirukan.

Sementara itu Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd Mustaffa Hamzah pula mendakwa terdapat pelekat yang tertera motto gereja "mengkristian seluruh umat di dunia".

"Gereja Methodist itu menggunakan formula tersebut dengan cari mereka yang perlu bantuan,tarik hati mereka,rapatkan diri dengan kumpulan sasaran dan mengkristiankan mereka secara halus," dakwa beliau.

Bagi Setiausaha Agung Persatuan Imam,Pegawai Masjid dan Penolong Pendaftar Nikah Selangor (PIMPINAN), Fakurruddin Eshak pula mendesak agar premis (gereja) yang terlibat di ambil tindakan agar perkara sedemikian tidak berlaku lagi.

"Jika insiden ini berterusan ia akan menaikkan semangat orang Melayu dahulu seperti yang berlaku pada Natrah. Jika ada undang-undang ia perlu diselesaikan dengan lebih baik," katanya.

Terdahulu, kumpulan NGO Islam itu turut menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah meminta baginda campur tangan dalam isu tersebut serta mendesak agar penganut agama lain mengelak usaha dakyah mereka terhadap umat Islam.

Memorandum lima muka surat itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani di Istana Bukit Kayangan, kira-kira pada pukul 10.40 pagi tadi.

Antara NGO yang terlibat termasuklah Badan Kebajikan Wanita Selangor (BAKAWANIES), Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia (PERSIDAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Unit Muballighat JAIS dan lain-lain.

Rabu lalu, penguat kuasa JAIS menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, kelihatan seseorang sedang berucap diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan cubaan memurtadkan umat Islam.

Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Kontroversi tersebut masih belum selesai apabila pada Khamis, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Datuk Dr Hasan Mohamed Ali untuk memberi penjelasan lanjut berhubung tindakan JAIS melakukan pemeriksaan terhadap gereja berkenaan.

Abdul Khalid juga turut mengeluarkan kenyataan melarang semua Exco Kerajaan Negeri memberikan kenyataan media atau mengulas mengenai isu berkenaan sehingga laporan siasatan daripada JAIS siap sepenuhnya dan akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor untuk memohon nasihat daripada baginda.

Artikel Lain