suria

Program 6P Bukan Sasar Pekerja Dari Negara Tertentu Semata-Mata

BALIKPAPAN: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini menyangkal tanggapan program 6P hanya mensasarkan pekerja asing dari negara tertentu semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, program itu bertujuan mengumpul data semua pekerja asing di Malaysia bagi memudahkan usaha mengenal pasti sektor yang memerlukan tenaga kerja.

"Setakat ini jumlah pekerja asing dari seluruh dunia termasuk dari Indonesia yang berdaftar di Malaysia ialah 1.8 juta orang. Tetapi yang datang secara sembunyi-sembunyi dan bekerja secara tidak sah juga perlu kami ketahui.

"Apa yang dilakukan Malaysia sekarang ialah mendaftarkan pekerja asing yang tidak sah itu dari seluruh dunia termasuklah dari negara-negara di Afrika. Itulah tujuan sebenar pendaftaran berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai program 6P yang merupakan program pemutihan secara menyeluruh tenaga kerja asing di Malaysia yang kini sedang berlangsung.

Mustapa mengetuai 30 anggota delegasi bagi meninjau peluang pelaburan di wilayah Kalimantan Timur ini, selain mempromosikan peluang pelaburan di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, beliau juga menafikan dakwaan program itu bermakna Malaysia tidak lagi memerlukan tenaga kerja asing.

Beliau juga berkata Malaysia mempunyai komitmen yang tinggi untuk mencegah kemasukan warga asing secara haram walaupun berdepan dengan cabaran garis sempadan darat dan laut yang panjang.

Mustapa dijadual meneruskan misi pelaburannya ke Surabaya hari ini, sebelum ke Manado di Sulawesi bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi Asean. - BERNAMA

Artikel Lain