suria

Penduduk Sungai Ruil Mungkin Dipindahkan Ke Kawasan Lain

TEMERLOH: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail tidak menolak kemungkinan penduduk perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh pada Ahad akan dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Kerajaan negeri Pahang perlu meneliti setiap aspek berhubung kejadian itu sebelum membuat sebarang keputusan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, banjir lumpur dan tanah runtuh selepas hujan lebat sejak 5 petang semalam, menimbus tiga rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di perkampungan berbukit berkenaan.

Tragedi itu meragut tujuh nyawa termasuk empat wanita, manakala dua lagi parah.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata setakat ini, seramai 85 keluarga membabitkan 523 orang penduduk yang terbabit dalam kejadian itu ditempatkan sementara di dewan serba guna Brinchang.

Mereka merupakan sebahagian daripada kira-kira 1,200 penduduk Orang Asli daripada suku kaum Semai yang tinggal di kampung berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain