suria

MB Selangor Minta Media Henti Bincang Kontroversi Serbuan JAIS Di Gereja

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Ahad meminta pihak media menghentikan perbincangan mengenai kontroversi serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semasa Majlis Makan Malam Muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama pada malam Rabu lepas, sehinggalah laporan lengkap diberikan oleh jabatan itu.

Beliau berkata ini kerana soalan media kadang-kadang agak mengelirukan sehingga boleh menyebabkan timbulnya spekulasi berhubung perkara tersebut.

"Oleh sebab itu saya suruh ia tidak payah dibincangkan, kita hanya akan bincangkan selepas fakta yang lengkap sudah ada dan keputusan dah dapat dilakukan.

"Inilah yang akan menjadi kesibukan yang tidak akan dapat selesaikan masalah sebab fakta tidak ada dan yang ada hanyalah spekulasi," katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian cek sumbangan berjumlah RM7,000 kepada 298 bekas peneroka bandar Kampung Rimba Jaya, Seksyen 16 di sini Ahad.

Abdul Khalid berkata isu yang penting ialah JAIS telah pergi ke gereja tersebut dan jabatan itu bersetuju untuk membuat laporan lengkap tentang apa yang dilakukan supaya ia dapat dibincangkan.

Justeru beliau menjangka JAIS akan mengambil masa yang panjang untuk menyediakan laporan yang lengkap dan teratur berhubung serbuan itu.

"Saya tidak menjangka laporan akan berlaku dalam dua tiga hari ini. Pada pandangan saya apapun pengumuman yang akan dibuat ialah selepas Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai bantahan mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) terhadap keputusan Lembaga Pengarah universiti itu melantik Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik, Prof. Dr. Anuar Ahmad sebagai pemangku Naib Canselor Unisel, Abdul Khalid berkata semua pihak boleh membantah tetapi itu adalah keputusan yang telah dibuat oleh lembaga pengarah universiti itu.

Profesor Dr. Anuar dilantik selepas jawatan berkenaan dikosongkan Datuk Dr. Rosti Saruwono berkuatkuasa 2 Ogos lepas. Rosti mengesahkan peletakan jawatan beliau atas alasan tidak sanggup melaksanakan arahan melucutkan jawatan tiga pegawai Unisel tanpa proses sewajarnya. - BERNAMA

Artikel Lain