suria

Mahkamah Benarkan Dua Permohonan Anwar Untuk Temu Bual 15 Saksi Termasuk Najib

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan dua permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menemu bual 15 saksi, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, bagi perbicaraan kes liwat yang sedang dihadapi Anwar.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwa untuk memastikan bahawa semua saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwa ditemu bual oleh peguam tertuduh.

"Selepas mengkaji semua kes undang-undang yang diketengahkan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua pihak memandangkan di bawah undang-undang pihak pembelaan berhak menemu bual semua saksi pembelaan yang ditawarkan kepada mereka," menurut Mohamad Zabidin.

Dalam permohonan pertama pada 26 Julai, Anwar memohon perintah mahkamah bagi mengarah pihak pendakwa memastikan kehadiran saksi-saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwa di penghujung kes mereka kepada mahkamah, untuk ditemu bual oleh pihak pembela.

Beliau meminta untuk menemu bual Najib, Rosmah, Hasanuddin Abd Hamid (pemilik unit kondominium di mana insiden didakwa berlaku), bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Ketua Pembangkang itu juga mahu menemu bual 10 saksi alibi sebelum beliau memberikan keterangan.

Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemu bual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan Anwar.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat itu, adalah saksi yang bercakap benar dan berwibawa.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, 2008, terhadap pertuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain