suria

Khir Toyo Diarah Bela Diri

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo pada Isnin, diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan menyalahgunakan kuasanya bagi mendapatkan sebuah rumah banglo dan sebidang tanah di Seksyen 7, di sini pada harga yang murah, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtaruddin Baki membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan untuk dijawab oleh Mohamad Khir.

Beliau seterusnya menetapkan 26 hingga 30 September ini untuk Mohamad Khir yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang membela diri dengan memberikan keterangan secara bersumpah. Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas pertuduhan mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Syarikat Ditamas Sdn Bhd, menerusi pengarahnya, Shamsuddin Hayroni, 55, pada harga yang murah.

Hartanah tersebut terletak di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, dibeli pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta semasa membeli hartanah itu pada 23 Disember 2004.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi MB, Jalan Permata, Seksyen 7 dan dalam keadaan beliau mengetahui Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai seorang Menteri Besar pada waktu itu.

Jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Mohamad Khir yang didakwa untuk kali pertama pada 6 Disember 2010 boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohamad Khir dilihat bersahaja semasa mendengar keputusan tersebut berbanding isterinya, Zahrah yang kelihatan agak sugul manakala beberapa penyokong beliau yang berada di galeri awam mahkamah menangis.

Turut berada di mahkamah ialah ahli politik, Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Sebelum meninggalkan mahkamah, Mohamad Khir juga sempat berbincang dengan peguam M. Athimulan, Kamarul Hisham Kamaruddin dan Datuk Jahaberdeen Mohd Yunoos yang mewakili dirinya.

Terdahulu, Mohtarudin dalam penghakimnya berkata, pihak pendakwaan telah membuktikan intipati pertuduhan di bawah Seksyen 165 termasuklah bahawa tertuduh merupakan seorang penjawat awam pada tarikh kejadian.

"Pendakwaan juga telah membuktikan bahawa tertuduh telah memperoleh dan membeli subjek pertuduhan iaitu hartanah tersebut daripada Shamsuddin dengan harga belian yang diketahui tidak mencukupi.

"Tertuduh juga tahu bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan perniagaan dengan tugas umum dan urusan rasmi beliau sebagai seorang penjawat awam.

"Justeru itu, tertuduh dipanggil untuk membela diri atas tuduhan yang dihadapi dan jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tidak akan teragak-agak untuk mensabitka tertuduh bersalah seperti pertuduhan," kata Mohtarudin.

Beliau juga berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian maksimum diberikan kepada keterangan saksi-saksi, bahan bukti, hujahan-hujahan dan nas undang-undang yang dikemukakan sepanjang prosiding berjalan.

Pada prosiding itu, barisan pendakwaan dibarisi oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamad, Masri Mohd Daud dan Mohd Dusuki Mohktar.

Perbicaraan terhadap Mohamad Khir bermula pada 8 Jun lalu dan berjalan selama sembilan hari degan keterangan 25 orang saksi pendakwaan, termasuk Shamsuddin selaku saksi pendakwaan kedua.

Shamsuddin sebelum ini turut didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Mohamad Khir untuk melakukan kesalahan itu, tetapi pertuduhan terhadapnya ditarik pada 6 Jun lalu sebelum dijadikan saksi pendakwaan.

Pada keterangannya, Shamsuddin yang menjalakan perniagaan hartanah di Selangor sejak tahun 1995 memberitahu, beliau didesak oleh Mohamad Khir untuk membeli hartanah tersebut daripada pemilik asalnya, Saiful Aznir Shahabudin, 51.

Seorang pereka laman, Nasir Ismail, 55, pula menyatakan dia melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di rumah itu dengan berkonsepkan Bali pada harga melebihi RM6 juta.

Artikel Lain