suria

Dua Dipercayai Lanun Diberkas Cuba Larikan Bot Nelayan Tempatan

LUMUT: Dua lelaki warga asing dipercayai lanun ditangkap pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) manakala tiga yang lain berjaya melarikan diri semasa mereka sedang melarikan dua buah bot nelayan tempatan menuju ke perairan antarabangsa berhampiran Pulau Jarak, dekat sini Ahad.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Muhammad Abdul Basar Taji berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Katanya dua buah bot nelayan tempatan itu sedang menangkap ikan kira-kira 31 batu nautika barat laut Pulau Jarak apabila pemilik bot berkenaan melaporkan telah dikejar oleh bot tidak dikenali.

"Berikutan itu, APMM telah menghantar kapal KM Siangin dan kapal KM Marlin ke lokasi berkenaan, selain mendapat bantuan kapal TLDM, KD Laksamana Hang Nadim dan dua buah helikopter TLDM jenis Fennec dan Super Lynx," katanya.

Bercakap kepada pemberita di sini beliau berkata pada kira-kira pukul 5.20 pagi, pesawat Fennec berjaya mengesan sebuah daripada bot nelayan itu sedang ditunda menuju ke kawasan perairan Indonesia dan ekoran itu ia dapat dipintas oleh KM Siangin.

Menurutnya ketika KM Siangin menuju ke bot, dua orang lanun yang merampas bot tersebut terjun ke laut, bagaimanapun kedua-dua suspek berjaya ditangkap.

Sebuah lagi bot berjaya dikesan pada kira-kira pukul 7 pagi oleh KD Laksamana Hang Nadim tetapi tiga suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah bot.

"Kedua-dua bot nelayan bersama dengan 18 orang nelayan serta dua orang suspek kemudian dibawa balik ke Pangkalan Jabatan Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan, dekat sini untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Akta 574, Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan. - BERNAMA

Artikel Lain