suria

Budak Lapan Tahun Mangsa Pertama Cedera Akibat Mercun Di Kedah

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun cedera di muka selepas terkena mercun bola semasa bermain bersama abangnya dan beberapa jiran mereka di Taman Teja, Changlun petang Sabtu lepas.

Mangsa Fakhrul Danish Fadzil, pelajar darjah dua Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Kemara, Changlun dikatakan duduk melihat mercun yang tidak meletup sebelum ia meletup dan terkena pada mukanya.

Ibu mangsa Manisah Mohd, 41, berkata ketika kejadian dia sedang menyiapkan juadah berbuka di rumah.

"Sebelum kejadian, dia (Fakhrul Danish) memberitahu saya mahu pergi taman permainan (terletak di depan rumah) dan saya tidak larang kerana dia memang selalu main di situ bersama kawan-kawannya. Kira-kira pukul 7 malam iaitu 10 minit selepas dia keluar, dia balik bersama abangnya dengan keadaan muka merah dan abangnya memberitahu Fakhrul terkena mercun," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Isnin.

Beliau berkata memandangkan tiada darah dan Fakhrul Danish tidak menangis, dia tidak segera membawa anaknya itu ke klinik, sebaliknya membawanya ke klinik selepas berbuka puasa.

"Dia beritahu saya matanya pedih dan apabila saya membuka matanya saya lihat matanya merah. Saya bawa Fakhrul Danish ke klinik berhampiran, tetapi doktor meminta supaya pergi ke hospital dan apabila sampai di Hospital Jitra, doktor di situ meminta agar Fakhrul menerima rawatan di HSB bagi memudahkan pemantauan daripada pakar mata," kata Manisah.

Manisah yang merupakan seorang guru berkata selepas menerima rawatan di HSB, daktor memberitahu mata anaknya mengalami kekaburan.

"Saya bersyukur kerana anak saya dapat melihat walaupun kabur. Doktor kata anak saya hanya mengalami kecederaan luaran sahaja. Mukanya yang kemerahan pada awalnya dah nampak melepuh dan saya harap dia akan cepat sembuh," katanya.

Sementara itu, Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie berkata Fakhrul Danish mengalami kecederaan pada kedua-dua belah mata akibat daripada letupan mercun tersebut.

"Dia juga mengalami kekurangan penglihatan akibat kejadian itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain