suria

Petronas Digesa Perluas Program CSR, Bantu Rakyat Miskin Tegar Di Sabah

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Jahid Jahim, menggesa Petronas untuk meningkatkan dan memperhebat program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)nya, untuk membantu rakyat miskin tegar di negeri ini.

Beliau berkata Petronas, yang mempunyai kedudukan kukuh dan memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Sabah sejak 1975, mungkin boleh melengkapkan usaha kerajaan untuk memberi bantuan perumahan bagi rakyat miskin.

"Masih ada rakyat miskin tegar di Sabah dan saya percaya Petronas, melalui program CSRnya, boleh membantu mempercepat penyelesaian bagi masalah kemiskinan tegar.

"Kami berharap Petronas boleh mempertimbang ini dengan serius," katanya kepada Bernama di sini Sabtu.

Jahid juga menggesa Petronas untuk memberikan lebih banyak peluang bagi rakyat tempatan menjalani kursus latihan bagi industri minyak dan gas di negeri ini.

Beliau berkata beliau khususnya berpuas hati dengan penyertaan rakyat Sabah dalam perniagaan minyak, terutamanya stesen-stesen runcit (petrol) Petronas dan perkhidmatan pengangkutannya.

"Semua yang terlibat dalam stesen runcit Petronas adalah rakyat Sabah.

"Ternyata, penyertaan komersial Petronas membantu memberikan peluang perniagaan kepada rakyat di Sabah," tegas beliau, ketika menceritakan lebih lanjut tentang sumbangan syarikat minyak negara itu ke arah menambah baik kualiti hidup rakyat Sabah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

245,376 PATI Didaftar

Artikel Lain