suria

Pertukaran Kerja Yang Berakhir Dengan Tragedi

IPOH: Pada minggu lalu, Timbalan Pengarah, Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kassim berasa amat tertekan.

Selepas sebulan ditukarkan dari Kolej Veterinar Sintok ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, pangsapuri Permai Lake View yang dihuninya dipecah masuk.

Beliau kerugian dan kehilangan barangan bernilai RM15,000.

Dr Rohani turut memberitahu kakaknya, Ruzaina pada Sabtu lalu bahawa dia berasa tertekan dengan arahan terbaru jabatan yang melarang penyembelihan haiwan yang sedang bunting.

Pada awal semalam, segala-galanya berakhir dengan tragis apabila wanita berumur 38 tahun yang belum berkahwin itu ditemui mati dibunuh di luar rumah sewanya di sini.

Pengawal keselamatan menemui mayat wanita itu dibalut dengan selimut tebal pada jam 4.30 pagi di tepi tangga pangsapurinya itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, tiga lelaki telah ditangkap untuk membantu dalam penyiasatan kes tersebut.

Katanya, lelaki berumur dalam lingkungan 21 dan 26 tahun itu ditahan di Tambun dan Tanjung Malim. Mereka dikenakan tahanan reman.

Dr Rohani yang sebelum ini merupakan pendaftar di Kolej Veterinar Sintok di Kedah, ditukarkan ke jabatan itu pada 1 Julai lalu.

Ruzaina, 41, ketika ditemui di rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun berkata, mangsa berpindah ke pangsapuri tersebut pada bulan lalu susulan pertukarannya ke situ.

"Seminggu sebelum permulaan Ramadan, rumahnya dipecah masuk dan dia kehilangan kira-kira RM15,000," katanya.

Ruzaina berkata, kali terakhir mereka bertemu ialah di rumah keluarga di Bagan Serai.

Menurutnya, Dr Rohani mengadu dirinya tertekan ekoran arahan terbaru tentang penyembelihan haiwan bunting di negeri itu.

Ibunya, Sharifah Razali, 72, berkata, Dr Rohani meninggalkan rumah keluarganya selepas sahur pada Isnin.

Bekas rakan kerja Dr Rohani, Roslizan Nekmat pula memberitahu, mangsa masih berada di pejabat ketika dia menghubunginya pada pukul 4.15 petang Rabu.

Roslizan, 45, berkata, Dr Rohani memintanya membeli ikan bakar untuk berbuka puasa.

"Saya tiba di pangsapurinya pada pukul 7.15 malam tetapi tiada respons walaupun saya mengetuk pintu berulang-ulang kali.

"Selepas beberapa ketika, saya membuat keputusan meninggalkan ikan di tombol pintu dan beredar dari situ," katanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon menemui keluarga mangsa di rumah mayat itu.

Dr Zambry menyerahkan derma peribadi sebanyak RM8,000 kepada keluarga mangsa.

Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung dengan kes itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Supritendan, A. Nirmala di talian 05-253 1500.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

245,376 PATI Didaftar

Artikel Lain