suria

Kem Motivasi Ala Banduan Tidak Sesuai Untuk Remaja, Kanak-Kanak - Shahrizat Abdul Jalil

KUALA LUMPUR: Remaja dan kanak-kanak tidak patut mengikuti program motivasi ala banduan seperti yang berlaku di Johor, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata tiada jaminan program seumpama itu berkesan dalam membendung masalah melibatkan golongan tersebut.

"Kajian antarabangsa juga mendedahkan penglibatan dalam program seperti itu gagal menghalang kanak-kanak daripada terjebak dengan masalah seperti penyalahgunaan dadah, jenayah, malah ia menggalakkan mereka untuk bertindak sebaliknya," kata Shahrizat dalam satu kenyataan, Jumaat.

Beliau berkata pihaknya lebih cenderung mengesyorkan pendekatan pemulihan yang boleh mengembalikan mereka kepada kehidupan biasa menerusi latihan semula serta rawatan bersesuaian untuk membaiki kesilapan yang dilakukan.

Shahrizat juga mengingatkan kesalahan penderaan terhadap kanak-kanak boleh dikenakan hukuman denda dan penjara.

Kenyataan beliau itu adalah susulan laporan media mengenai dakwaan pelajar dari tiga buah sekolah menengah di Johor Baharu, bahawa mereka didera secara mental dan fizikal ketika menyertai kursus motivasi yang dijalankan secara berasingan oleh Jabatan Penjara di sana. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

245,376 PATI Didaftar

Artikel Lain