suria

Serbu Gereja: MB Akan Menghadap Sultan Minta Nasihat

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah untuk mendapatkan nasihat baginda dalam menyelesaikan kontroversi di sebalik tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan terhadap sebuah gereja Methodist di Damansara Utama, Rabu lalu.

Abdul Khalid berkata tindakan tersebut akan diambil sebaik sahaja beliau menerima laporan daripada JAIS yang akan turut dipersembahkan kepada Sultan Selangor.

“Sebaik menerima laporan JAIS saya akan mengadap Tuanku untuk mendapat nasihat dalam menyelesaikan isu ini serta memastikan perkara sebegini tidak akan berlaku lagi.

"Sehingga tindakan ini diambil dan isu diselesaikan, semua ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor dilarang dari membuat sebarang kenyataan berkenaan isu ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Abdul Khalid sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri amat kesal dengan kejadian tersebut.

"Kerajaan Negeri yakin rakyat Selangor tidak rasa terbela dengan kejadian tersebut.

“Niat dan tujuan yang baik tidak menghalalkan perbuatan yang gagal mempamerkan keadilan dan kebijaksanaan dalam memimpin masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat meneruskan semangat keharmonian, hormat menghormati dan tolerasi antara agama yang telah wujud sejak sekian lama di negara ini.

Rabu lalu, penguat kuasa JAIS menyerbu gereja terbabit selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, kelihatan seseorang sedang mengadakan pengucapan awam yang ucapannya ada diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain