suria

Pembunuhan Banting: Tiga Cap Jari Dalam Kereta Ahmad Kamil

SHAH ALAM: Pemeriksaan yang dilakukan terhadap kereta BMW sedan milik peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim yang mati dibunuh bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya menemui tiga kes cap jari pada dua barangan yang terdapat di dalam kereta tersebut.

Pegawai Turus Siasatan Tempat Kejadian (CSI), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Sheikh Zainal Abidin Sheikh Omar memberitahu, dua kesan cap jari ditemui pada kad Touch N Go manakala satu lagi pada botol pewangi 'Lavender'.

Selain itu, pemeriksaan yang dilakukan pada pukul 10.55 malam, 6 September 2010 turut menjumpai smart tag dan senaskah surat khabar The Sun bertarikh 30 Ogos 2010 di dalam kereta manakala sekeping iklan syarikat komunikasi ditemui pada luar cermin kereta.

Pada keterangan lain, Sheikh Zainal Abidin juga memberitahu, beliau turut membuat calitan untuk mengesan kehadiran asid Deoksiribonukleik (DNA) pada bahagian stereng kereta dan tombol gear yang kemudiannya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Ishak Yaakob.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-34 memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, bahawa pemeriksaan dilakukan di tempat kereta itu ditemui pada pukul 10.55 malam, 6 September 2010 di Jalan SS12/1B, Subang Jaya, dekat sini.

Sebelum ini, isteri kepada Ahmad Kamil, Sabrina Adnan, 32, pada keterangannya mengesahkan bahawa pada hari suaminya dilaporkan hilang, beliau memandu kereta BMW Saloon bernombor pendaftaran AAJ 5.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin, saksi seterusnya memberitahu beliau dan unitnya terdiri daripada empat anggota menerima arahan untuk membantu siasatan di sungai Kampung Kelanang, Banting, dekat sini pada 14 September 2010.

"Setibanya di sana, Cif Inspektor N. Govindan berada di tepi sungai bersama dengan dua orang suspek dan saya melihat tiga anggota polis marin berada di dalam sungai mencari zink yang dibuang.

"Mereka dapat keluarkan satu demi satu zink dan akhirnya ada enam keping atap zink di tebing sungai," katanya pada perbicaraan yang masuk hari ke-18 pada Jumaat.

Tambah Sheikh Zainal Abidin, semua zink tersebut dibiarkan sehingga kering, dibuat penandaan dan dibalut dengan kertas minyak sebelum di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Banting untuk diserahkan kepada Mohd Ishak.

Peguam Manjeet Singh Dhillon pada pemeriksaan balas pula mencadangkan bahawa DNA pada kereta tersebut memberikan hasil yang negatif selepas ia dihantar untuk tujuan perbandingan di Jabatan Kimia Malaysia, dan saksi menjawab tidak bersetuju.

Bagaimanapun, Sheikh mengakui bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan sama ada sampel DNA itu dihantar ke jabatan berkenaan, kerana ia merupakan tanggungjawab seorang pengawai penyiasat kes.

Seterusnya, beliau juga mengakui bahawa tiada penandaan dilakukan bagi mengenal pasti urutan zink-zink terbabit ditemui, sedangkan ia merupakan perkara penting yang menjadi amalan CSI.

Beliau juga bersetuju dengan Manjeet bahawa adalah menjadi satu kesalahan dalam prosedur CSI apabila penyelam-penyelam yang terlibat dalam penemuan zink tidak memakai sarung tangan semasa menjalankan proses pencarian di dalam sungai.

Suatu ketika, mungkin kerana tidak tahan diasak bertubi-tubi oleh Manjeet, saksi meminta agar peguam tersebut tidak begitu menekannya dengan bertanyakan soalan-soalan yang tidak sepatutnya ditanya.

Manjeet: Saya cadangkan kamu patut menonton rancangan televisyen CSI untuk belajar lebih baik daripada apa yang dilakukan dalam kes ini?

Sheikh Zainal Abidin: Soalannya?

Tindakan saksi yang menjawab soalan itu dengan satu pertanyaan menyebabkan semua hadirin yang berada di mahkamah ketawa menyebabkan saksi memohon maaf kepada Manjeet kerana tidak memahami soalan tersebut.

Manjeet: Tidak apa, saya tarik semula soalan tadi. Sementara itu, menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad, saksi mengakui bahawa penggunaan sarung tangan semasa mengumpulkan barang bukti adalah bagi mengelakkan berlaku perpindahan DNA pada bahan bukti tersebut. Sheikh Zainal Abidin sedang memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, dan Ahmad Kamil , 32.

Semua mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pada pukul antara 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Ladang Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Jika disabitkan bersalah, mereka boleh dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar Tahir akan bersambung pada Isnin, dan dijadualkan akan bermula dengan prosiding bicara dalam perbicaraan bagi menentukan kesahihan keterangan Govindan bahawa Thilaiyalagan telah menunjukkan tempat barang kes ditemui.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain