suria

Pantau Program Keagamaan Lain Jika Libatkan Umat Islam

PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkara Malaysia (Perkasa) mahu pihak berkuasa agama Islam memantau program kebajikan khususnya yang membabitkan agama lain sekiranya turut disertai oleh orang Islam.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah berkenaan wajar dilakukan terutamanya bagi mengelakkan penyebaran agama lain kepada penganut Islam menerusi bantuan kebajikan.

"Majlis atas nama program kebajikan wajar dipantau kerana di sebalik program tersebut, (kemungkinan) ada agenda halus untuk mengaburi umat Melayu Islam yang daif melalui perbagai bantuan.

"Gerakkan aktiviti seumpama ini sudah lama dijalankan. Walaupun di Malaysia ada kebebesan beragama, tapi sebarang bentuk kegiatan keagamaan oleh lain-lain agama yang melibatkan umat Islam, mesti berhati hati, apatah lagi majlis yang dibuat dalam gereja atau kuil," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kecaman banyak pihak berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama pada Rabu selepas mendapat maklumat orang Islam menghadiri majlis di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira pukul 9 malam, kelihatan seseorang sedang mengadakan pengucapan awam yang ucapannya ada diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam menghadiri majlis tersebut namun tiada tangkapan dibuat.

Selain itu Ibrahim berkata, penganut agama lain tidak boleh menggunakan alasan kebebasan agama yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menyebarkan agama masing-masing kepada orang Islam.

"Islam agama rasmi Persekutuan dan pihak penganut agama lain tidak boleh cuba mengajak orang Islam memeluki agama mereka kerana ianya salah di sisi undang-undang.

"Jangan guna alasan kebebasan beragama untuk melakukan kegiatan-kegiatan keagamaan terhadap umat Islam dengan menggunakan program bantuan kemiskinan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain